SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Wednesday, December 21, 2011

TEORI ESTETIKA BERSEPADU

Latar belakang teori

Teori Estetika Bersepadu diperkenalkan oleh Abdul Halim Ali, seorang pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Teori ini pada asalnya adalah sebuah kerangka konsep yang digunakan dalam kajian akademik di peringkat ijazah kedoktoran pada tahun 2009. Kerangka konsep ini bersandarkan kepada konsep keindahan yang tercerna di sebalik keindahan gaya bahasa dan perutusan agama. Abdul Halim kembali kepada al-Quran sebagai teks asal yang memberi gambaran dan sifat keindahan hakiki yang mencerminkan keindahan manifestasi dalam teks kesusasteraan di samping buku `Manusia dan Islam` karya Haron Din, et al. terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1997, cetakan kedua sebagai asas rujukan dalam memahami hakikat kejadian manusia dan hubungannya dengan Tuhan serta hubungannya dengan makhluk yang lain.
Bagi Abdul Halim, keindahan manifestasi tergambar pada makhluk ciptaan Allah SWT. Puncak kesempurnaan keindahan manifestasi ialah penciptaan manusia yang disifatkan Allah sebagai ciptaan paling sempurna dan indah. Abdul Halim merujuk padangan Haron Din, et al (1997), yang mneyebutkan, keindahan ciptaan manusia terdiri daripada dua bentuk iaitu keindahan jasmani dan keindahan Nafsani. Walaupun kedua-dua keindahan ini memang dituntut supaya dijaga, namun Islam menyuruh supaya meletakkan keindahan kedua (keindahan nafsani) sebagai asas dan matlamatnya dalam usaha pembentukan kesempurnaan diri sepanjang usia hidupnya di dunia (Haron Din, et al,1997:2).
Kesepaduan unsur indah jasmani dan nafsani manusia menjadikan manusia sebagai makhluk dalam keadaan paling sempurna (indah). Diterangkan Allah dalam al-Quran dalam beberapa Surah seperti Surah Nuh, ayat 17, Surah as-Sajadah, ayat 7-9, Surah al-Mu’minun, ayat 23 , Surah al-Isra’ ayat 70 dan juga keterangan al-Hadis. Berasaskan keterangan al-Quran, hadis dan keterangan sejarah Islam, keindahan dan kesempurnaan kejadian manusia berlaku menerusi proses penyepaduan pelbagai unsur jasmani dan rohani yang membezakan makhluk manusia dengan makhluk-makhluk yang lain. Manusia yang diciptakan ini mempunyai hubungan langsung sebagai hamba kepada Pencipta-Nya (vertikal) dan sebagai pelengkap kepada makhluk-makhluk yang lain (horizontal).
Manusia diberikan tugas sebagai khalifah, menyampaikan dan melaksanakan perintah Pencitpa-Nya, yakni menyampaikan perutusan kebenaran (haq) kepada manusia yang lain. Dalam konteks melaksanakan tanggungjawab itu, manusia pada hakikatnya adalah diciptakan hanyalah dengan tujuan supaya mengabdikan diri kepada Pencipta-Nya dalam semua urusan.
Abdul Halim percaya teks kesusasteraan mempunyai fungsi dan sifat yang hampir sama dengan manusia. Teks kesusasteraan bukan semata-mata teks, tetapi ia adalah sebuah amanah yang mengisi pengajaran dan membawa perutusan Pencipta yang hakiki dan pengarang (`pencipta` manifestasi) untuk membawa manusia dengan kebenaran supaya mengabdikan diri kepada Pencipta yang hakiki. Oleh itu, menurut Abdul Halim teks kesusasteraan juga adalah `teks keindahan` yang lahir daripada proses penyepaduan pelbagai unsur bahasa, idea dan pemikiran, pengajaran dan perutusan.

....bersambung