SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Monday, May 24, 2010

PENDEKATAN SEMIOTIK

Pendekatan Semiotik merupakan salah satu kritikan yang penting dan popular dalam bidang bahasa dan kesusasteraan. Pendekatan ini kritik ini menggunakan prinsip-prinsip teori Semiotik sebagaiamana yang yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh seperti Fredinand de Saussure, Sander Pierce, Micheal Riffaterre, Umbarto Eco, Jurij Lotman dan lain-lain.
Pendekatan ini menitikberatkan soal kebahasaan dengan penumpuan kepada mencari dan memahmi makna menerusi sistem lambang (sign) dan perlambangan dalam teks. Asas kepada kritikan ini ialah kepercayaan bahawa makna bahasa ditandai dengan sistem lambang dan perlambangan. Lambang dan perlambangan ini pula mempunyai hubungan dengan psikologi manusia dalam sesebuah masyarakat. Makna dalam teks dapat difahami dengan mentafsir lambang dan perlambangan yang hadir dalam teks dan dihubungkan pula dengan penerimaan umum dalam sesebuah masyarakat.
Semiotik mungkin bermula awal iaitu semenjak zaman Plato lagi. Namun, untuk beberapa tempoh waktu, ianya tidak dipentingkan terutamanya dalam era penolakan epistimologi teori ini. Walau bagaimanapun, selepas kurun ke-17, Semiotik muncul semula dengan lebih bertenaga. Beberapa cadangan supaya kajian secara mendalam tentang bahasa yang lebih sistematik perlu diwujudkan telah disuarakan oleh ramai pemikir falsafah seperti Ferdinand de Saussure dan Charles Sander Peirce.
Istilah Semiotik telah digunakan oleh Charles Sander Peirce untuk merujuk kepada satu cabang autonomous sains. Peirce boleh dianggap sebagai seorang pemula Semiotik. Beliau membezakan tiga jenis lambang iaitu ikonik, indekisal dan simbolik (Terry Eagleton,1993:111). Di antara Peirce dan Saussure ada perbezaan yang jelas dalam penekanan terhadap lambang ini. Saussure merujuk lambang secara wewenang kepada penandanya.
Pengasas utama pendekatan Semiotik dalam kajian kesusasteraan ialah Jurij M. Lotman yang menulis kertas kerja dalam buku mengenai teori dan metodologi Semiotik (Mana Sikana,1990:18). Pendekatan ini tumbuh dan berkembang di Barat pada sekitar tahun-tahun awal kurun ke 20. Tokoh-tokoh penting di belakang Semiotik ialah Saussure, Peirce, Lotman, Jonathan Culler, Micheal Riffaterre dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun setiap tokoh ini mempunyai pandangan yan berbeza terhadap konsep lambang dan perlambangan, meskipun asas teorinya sama iaitu memahami makna berasaskan sistem lambang dan perlambangan. Oleh kerana itu, pengkritik yang ingin menggunakan pendekatan ini harus terlebih dahulu memahami idea Semiotik tokoh-tokoh ini.

No comments:

Post a Comment