SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Wednesday, November 18, 2009

TEORI-TEORI SASTERA MODEN MALAYSIA

Latar Pengenalan

Secara umum, teori-teori moden kesusasteraan dari Barat sudah memasuki kesusasteraan Melayu di Malaysia sejak awal tahun 1950-an lagi. Kehadirannya agak terkemudian berbanding dengan perkembangan kritikan yang sudah bermula sejak tahun 1930 dan 1940-an lagi. Walau bagaimanapun, kritikan sastera yang timbul pada tahap awal ini berlaku secara kecil-kecilan dan tidak memiliki nilai yang tinggi (Hashim Awang 1997:103).
Tahun 1950-an boleh dianggap tahap awal kemasukan teori-teori moden kesusasteraan dari Barat di Malaysia, meskipun usia kewujudannya dalam kesusasteraan Barat pada waktu itu sudah menjangkau hampir satu setengah abad. Dalam tahun 1960-an hingga 1980-an, teori-teori ini mula bertapak dan menjadi sebahagian daripada keluarga sastera Melayu. Ramailah pula dalam kalangan para penulis, pengkritik dan pembicara sastera Melayu yang mampu menguasai dan menjadi penganutnya. Teori-teori ini dipraktik dan disebar dalam kalangan kritikawan muda generasi terkemudian, sama ada melalui kuliah, bengkel atau tulisan kritikan mereka (Sahlan Mohd Saman,1997:192).
Hampir tiga puluh tahun teori-teori moden kesusasteraan Barat menghegemoni kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang teori dan kritikan, maka barulah para sarjana Melayu Islam menyedari terdapat banyak kelemahan teori-teori berkenaan. Hashim Awang (1997) menjelaskan bahawa teori-teori kesusasteraan Barat tidak lengkap, bersifat berat sebelah dan memberi perhatian kepada satu-satu aspek sahaja. Mana Sikana pula melihat dominasi teori-teori Barat dalam kesusasteraan Melayu sebagai sesuatu yang tidak wajar, kerana teori-teori Barat telah memancarkan konsepsi sastera kita yang tidak jatidiri dan kurang seiring dengan konteks sosio budaya di negara ini.
Kesedaran kepada perlunya memiliki teori sastera dan teori kritikan Melayu mula membenihkan suasana. Kecenderungan untuk menggunakan pendekatan baharu ini terus hidup dan berlanjutan. Timbul suara lantang yang menyeru agar kritikan sastera haruslah diterapkan dengan nilai-nilai keagamaan, tegasnya nilai-nilai keislaman (Hashim Awang.1997:113). Isu pokok yang menjadi asas utama kelemahan teori Barat sebagai alat mengkritik teks sastera Melayu ialah keterpisahannya dari unsur keIslaman dan keMelayuan yang menjadi tunjang kepada segala proses penglahiran karya Melayu, khususnya oleh pengkarya Melayu Islam sendiri.
Polemik kesusasteraan Islam di antara Shahnon dan Kassim Ahamd pada penghujung tahun 1970-an telah mencetus benih teoretikal dalam kerangka pembinaan teori-teori kesusasteraan Melayu berasaskan Islam dan jatidiri Melayu di negara ini. Pada tahun 1989, muncullah gagasan teoretikal tentang kesusasteraan Melayu yang dikemukakan oleh Muhammad Haji Salleh, kemudian Mohd Affandi Hassan dengan Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid, Shafie Abu Bakar dengan Teori Takmilah dan Hashim Awang dengan Pengkaedahan Melayu. Mana Sikana yang banyak membuat kajian dan pembacaan menemukan idea dan pengalaman sebagai inti idealisme kepengarangan. Atas prinsip dan keyakinan terhadap idealisme inilah akhirnya beliau mengenengahkan teori Teksdealisme. Sohaimi Abdul Aziz turut menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan teori kesusasteraan Melayu dengan mengemukakan teori Rasa-Fenomenologi. Perkembangan ini berjaya menumbuh dan menghidupkan satu cabang ilmu pengajian kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang teori dan kritikan sastera (Abdul Halim Ali, 2001).
Seperti yang telah disebutkan bahawa, teori-teori kesusasteraan Barat disifatkan oleh sarjana Melayu sebagai pincang, terbatas dan berat sebelah. Kepincangan ini tidak hanya diukur pada penilaian tekstual, tetapi juga pada aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Selepas kematian Matthew Arnold pada tahun 1888, kritikan sastera di Barat mula berubah. Kritikan mula memberi penekanan kepada aspek biografikal atau sejarah dalam teks (Charles E. Bressler 1999:33). Beberapa kerangka pemikiran Hyppolyte Adolphe Taine dan Henry James kemudiannya digunakan untuk mengkritik teks.
Pada awal abad ke-20, ramai tokoh serta sarjana yang muncul dan terlibat dalam bidang teori dan kritikan sastera di Barat dengan pandangan dan sikap yang berbeza-beza terhadap teks. Mereka mula menolak pendekatan yang bersifat holistik, sebaliknya cenderung kepada satu-satu aspek khusus sahaja (Charles E. Bressler.1999:34). Tekstualiti teks menjadi fokus para sarjana dalam era modenisme ini, dan menolak aspek sejarah serta aspek-aspek di luar teks seperti pengarang, sistem sosial dan budaya.
Teori New Criticism (Kritikan Baharu), Formalisme, Strukturalisme merupakan teori-teori moden yang secara ekstrim menolak campur tangan aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Teori Formalisme menyingkirkan unsur-unsur yang tidak bersifat kesusasteraan secara ketat dan bersistem (Ann Jefferson & David Robey 1988:27). Mereka mencari dan menggali makna di dalam karya semata-mata. Makna itu dilihat wujud di sebalik aspek-aspek tekstual seperti linguistik, struktur dan hubungan-hubungan yang berlaku dalam karya. Mereka berpendapat bahawa, makna itu umum dan objektif sifatnya, termaktub dalam bahasa teks itu sendi (Terry Eagleton 1988:53).
Berdasarkan kepada senario ini, teori-teori moden kesusasteraan di Barat dapat dikatakan bergerak atas landasan tekstualiti, Yakni, teks menjadi runtunan teori-teori sastera untuk muncul dan berkembang. Teks dipandang sebagai suatu entiti, yakni suatu struktur atau sistem, dan sistemlah yang menentukan apa-apa fungsi yang perlu dimainkan oleh sesuatu ciri kegayaan itu (Ann Jefferson & David Robey 1988:34). Tekstuallah yang mengarah dan menentukan jalan susur kepada segala prinsip dan dasar pemikiran teoritis, manakala aspek-aspek lain seperti sejarah, biografi dan disiplin lain yang berada di luar teks dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang pertalian sebab akibat dalam kesusasteraan.
Ada beberapa sebab yang mendorong para sarjana ini mengenakan sempadan yang ketat, antaranya ialah supaya dapat diwujudkan satu sains kesusasteraan yang bebas, mengkaji bahan kesusasteraan yang khusus. Kedua, mereka tidak mahu kesusasteraan menjadi mangsa kepada disiplin-disiplin ilmu lain yang ada di sekitarnya.
Penafian pengarang, penolakan sejarah dan biografi, menidakkan peranan disiplin-disiplin lain sebagai bertalian atau mempunyai hukum kausaliti dalam kesusasteraan inilah yang dilihat oleh para sarjana sastera Melayu sebagai berat sebelah, terbatas, khusus kepada aspek-aspek tertentu sahaja, yang menyebabkan kajian tidak sempurna (Hashim Awang 1997:103). Landasan pembinaannya tidak menggambarkan keluasan dan kefungsian kesusasteraan di dalam dan di luar sempadannya. Jika demikian, bagaimanakah teori-teori ini mampu menelurkan makna-makna yang intrinsik dalam karya-karya penulis Melayu Islam?
Disiplin Kesusasteraan Melayu semakin berkembang. Perkembangan ini bergerak seiring dengan perkembangan dunia kesusasteraan di seluruh dunia. Lebih menarik dalam perkembangan ini dimantapkan oleh nilai-nilai jati diri bangsa Melayu itu sendiri. Nilai-nilai jatidiri yang dimaksudkan ialah Islam dan Kemelayuan bangsa. Perkembangan inilah yang banyak menuntut kepada keperluan pembinaan teori-teori kesusasteraan yang berteraskan kepada nilai dan sifat jatidiri bangsa Melayu itu sendiri.
Sedikit demi sedikit usaha ke arah pembinaan teori kesusasteraan tempatan mula menampakkan hasilnya. Beberapa tokoh sarjana dan pemikir Melayu Islam seperti Shahnon Ahmad, Kassim Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Shafie Abu Bakar, Hashim Awang dan Mohd Affandi Hassan mula mengambil langkah-langkah perlu ke arah merealisasikan tuntutan itu. Awal tahun 1980-an menyaksikan bibit perkembangan itu bermula, dan pada tahun 1989 lahirlah Puitika Sastera Melayu di tangan Muhammad Haji Salleh. Tahun-tahun 1990-an adalah era kesuburan bagi perkembangan teori kesusasteraan Melayu, apabila muncul beberapa lagi teori seperti Persuratan Baharu, Pengkaedahan Melayu, teori Takmilah, Teksdealisme dan Rasa-Fenomenologi.

No comments:

Post a Comment