SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Monday, November 23, 2009

TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU


Teori Pengkaedahan Melayu dikemukakan oleh Prof. Dr. Hashim Awang. Idea teori bersandarkan kepada kitab Taj-al-Muluk (terbitan Muktabah Wamatbaah Wal maari’f, Pulau Pinang). Teori ini dikemukakan atas beberapa sebab. Pertama, kerana kekurangan-kekurangan tertentu pada teori-teori kritikan yang diimport dari Barat. Secara umum kelemahan-kelemahan praktis kritikan berasaskan teori sastera Barat dianggap oleh Hashim Awang sebagai berat sebelah dan kurang sesuai dalam menginterpertasi teks kesusasteraan Melayu yang berteraskan kepada jati diri bangsa Melayu dan Islam. Penelitian teori-teori ini lebih tertumpu kepada aspek-aspek terkhusus sahaja dan mengabaikan perkara-perkara lain yang jauh lebih penting. Oleh Menurut Hashim Awang lagi, hasil kajian dan analisis yang dibuat tidak menyeluruh dan tidak sempurna, abstrak dan statik. Walhal sastera dan karya sastera yang dimodelkan itu amat bersifat dinamik (Hashim Awang,1997:114).
Dengan tanggapan itu, Hashim mengenengahkan gagasannya yang diberi nama Pengkaedahan Melayu sebagai alternatif kepada pengkaedahan-pengkaedahan Barat. Sebagaimana Muhammad Hj Salleh, Hashim Awang turut kembali ke dasar masyarakat dengan menyingkap aspek keindahan, kehalusan, ketinggian daya cipta masyarakat Melayu yang sangat tinggi kekreatifannya dalam menghasilkan sesuatu hasil seni. Dari sudut kebahasaan, Hashim mendapati aspek bahasa yang menjadi nadi komunikatif masyarakat Melayu sangat tinggi nilai estetikasinya dan kaya dengan didaktivismenya. Oleh itu, untuk menelaah hasil seni, khususnya seni sastera Melayu, maka tidak dapat tidak pengkaedahan Melayu itu sangat diperlukan. Tujuannya supaya penelitian akan benar-benar menghasilkan analisis yang sangat cocok dan bertalian dengan worldview Melayu itu sendiri.
Sebagai landasan kepada analisis ini, Hashim mengenengahkan dua pengkaedahan iaitu Pengkadahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Kedua-dua pengkaedahan ini berkaitan dan berhubungan antara satu dengan lainnya (Hashim Awang,1997:120). Pengkaedahan Alamiah bererti merujuk secara langsung kepada faktor alam yang menjadi latar kehidupan masyarakat Melayu. Pengkarya Melayu menurut Hashim tidak dapat lari dari alamnya sewaktu berkarya. Faktor alamiah sangat dominan mempengaruhi dan membentuk kerangka pemikiran dan menentu hala tuju matlamat kepengkaryaannya. Oleh itu, meneliti teks sastera Melayu secara formalis atau strukural tanpa mengambilkira hubungan pengkarya dengan alamnya adalah mencacatkan, serta gagal menemukan khalayak kepada kejatidirian dan keperibadian teks itu setepatnya.
Dalam hal ini, pandangan Hashim Awang tidak jauh bezanya dengan pandangan Muhammad Hj Salleh dan tidak juga asing dengan pandangan pendokong New Historicism yang berkembang di Amerika Syarikat. Stephen Greenblatt juga melihat faktor budaya dan persekitaran pengkarya itu sebagai penentu yang mempengaruhi pengkarya menghasilkan teks. Inilah yang disebut oleh Micheal Foucault sebagai episteme. Episteme kata Foucault yang menentu dan mempengaruhi ahli sejarah atau pengkarya menulis. Bezanya, New Historicism bukannya mendaulatkan kehalusan budaya dan episteme itu, sebaliknya cukup dijadikan sandaran kepada domain yang mempengaruhi pengkarya. Hashim Awang dan Muhammad Hj Salleh sebaliknya mengangkat kehalusan budaya itu ke tengah teks bagi menggapai sedalam-dalam dan setepat-tepatnya makna teks.
Satu lagi pengkaedahan yang diketengahkan oleh Hashim ialah Pengkaedahan keagamaan. Hashim melihat agama Islam yang sinonim dengan Agama Melayu itu sebagai teras yang turut menunjangi kepengkaryaan. Pengkarya seringkali menghasilkan karya sebagai satu pendekatan dakwah. Dalam uslub dakwah ini, pengkarya Melayu tidak memisahkan diri dari tanggungjawab dirinya sebagai khalifah Allah swt, yang diamanahkan untuk mendaulatkan dan meninggikan syiar dan syariat Islam di muka bumi ini. al-Quran yang sarat dengan kisah sejarah dan keindahan bahasa menjadi sumber penghasilan karya sastera yang kemudiannya disekalikan dengan kemurnian budaya Melayu bagi mencapai dan memunculkan makna teks yang hakiki.

5 comments:

  1. persoalan disini bagaimana teori ini dapat membedah sesebuah karya puisi pantun untuk dijadikan sebagai kajian teks melalui peegkaedahan keagamaan

    ReplyDelete
  2. Karya pantun khususnya pantun agama, budi dan moral amat sesuai dijadikan teks untuk dikritik menggunakan teori ini. Komposisi pantun mempunyai unsur alam dan manusia dapat dianalisis atas asas agama khususnya membuktikan perkaitan sistem hidup, amalan hidup, sikap dan moral orang-orang Melayu dengan alam sekitar (manusia lain, panorama alam dan lain lain). Sesuai sangat.

    ReplyDelete
  3. teori ini dinamakan teori pengkaedahan melayu.jadi, adakah teori ini relevan digunapakai untuk menganalisis puisi dalam kaum lain di Malaysia seperti puisi iban, kadazandusun dan sebagainya?..jika dianalisis, puisi-puisi ini juga tidak mengetepikan unsur alam dalam penghasilan sesebuah karya sastera..

    ReplyDelete
  4. Sdr Jstone Agang. teori juga boleh digunakan untuk mengkritik teks yang dihasilkan oleh penulis kaum lain dengan menyesuaikan makna Melayu dalam konteks masyarakat Malaysia yang universal.Juga boleh melakukan modifikasi pada makna Melayu kepada makna kaum lain sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia.

    ReplyDelete
  5. wah prof halim i miss u hihi

    ReplyDelete