SELAYANG PANDANG

Selamat datang kepada pengunjung peminat dan penggiat kesusasteraan, khususnya yang berminat dalam bidang teori, kritikan dan penulisan puisi ke blog Teori dan Kritikan Sastera. Blog ini menyediakan maklumat akademik berkaitan sejarah dan perkembangan bidang ilmu teori dan kritikan sastera di Barat dan di Malaysia. Selain itu, terdapat juga sisipan puisi, peribahasa dan pelbagai informasi tentang kegiatan kesusasteraan tanah air. Anda juga boleh kunjungi laman blog puisi saya di http://anjungpuisi.blogspot.com/ Semoga ilmu yang dikongsi dalam blog ini dapat memanfaatkan perkembangan ilmu saudara/i ke arah memahami dan mengenali kebesaran dan keluasan ilmu Allah SWT. - a.halim ali

Friday, November 20, 2009

ASAS PEMBINAAN TEORI SASTERA MALAYSIA

Seperti yang telah disebutkan bahawa, teori-teori kesusasteraan Barat disifatkan oleh sarjana Melayu sebagai pincang, terbatas dan berat sebelah. Kepincangan ini tidak hanya diukur pada penilaian tekstual, tetapi juga pada aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Selepas kematian Matthew Arnold pada tahun 1888, kritikan sastera di Barat mula berubah. Kritikan mula memberi penekanan kepada aspek biografikal atau sejarah dalam teks (Charles E. Bressler.1999:33). Beberapa kerangka pemikiran Hyppolyte Adolphe Taine dan Henry James kemudiannya digunakan untuk mengkritik teks.
Pada awal abad ke 20, muncul ramai tokoh dan sarjana yang muncul dan terlibat dalam bidang teori dan kritikan sastera di Barat dengan pandangan dan sikap yang berbeza-beza terhadap teks. Mereka mula menolak pendekatan yang bersifat holistik, sebaliknya cenderung kepada satu-satu aspek khusus sahaja (Charles E. Bressler.1999:34). Aspek tekstualiti menjadi fokus para sarjana dalam era modenisme ini, dan menolak aspek sejarah serta aspek-aspek di luar teks seperti pengarang, sistem sosial dan budaya.
Teori-teori seperti New Criticism, Formalisme, Strukturalisme merupakan teori-teori moden yang secara ekstrim menolak campur tangan aspek-aspek lain yang berada di luar teks. Teori Formalisme menyingkirkan unsur-unsur yang tidak bersifat kesusasteraan secara ketat dan bersistem (Ann Jefferson & David Robey (Ed).1988:27). Mereka mencari dan menggali makna di dalam karya semata-mata. Makna itu dilihat wujud di sebalik aspek-aspek tekstualiti seperti linguistik, struktur dan hubungan-hubungan yang berlaku dalam karya. Mereka berpendapat bahawa, makna itu umum dan objektif sifatnya, termaktub dalam bahasa teks itu sendiri(Terry Eagleton.1988:53).
Berdasarkan kepada senario ini, teori-teori moden kesusasteraan di Barat dapat dikatakan bergerak atas landasan tekstualiti. Yakni, teks menjadi runtunan teori-teori sastera untuk muncul dan berkembang. Tesktualiiti bermakna, menerima teks sebagai rujukan bagi mengeluarkan segala sifat dan fenomena sastera, kemudian menganalisis dan merumuskannya berdasarkan prinsip-prinsip yang ditentukan. Teks sudah dipandang sebagai suatu entiti, yakni suatu struktur atau sistem, dan sistemlah yang menentukan apa-apa fungsi yang perlu dimainkan oleh sesuatu ciri kegayaan itu (Ann Jefferson & David Robey (Ed).1988:34). Tekstualitilah yang mengarah dan menentukan jalan susur kepada segala prinsip dan dasar teori, manakala aspek-aspek lain seperti sejarah, biografi dan disiplin lain yang berada di luar teks dianggap sebagai tidak mempunyai sebarang pertalian sebab akibat dalam kesusasteraan.
Ada beberapa sebab yang mendorong para sarjana ini mengenakan sempadan yang ketat, antaranya ialah supaya dapat diwujudkan satu sains kesusasteraan yang bebas, mengkaji bahan kesusasteraan yang khusus. Kedua, mereka tidak mahu kesusasteraan menjadi mangsa kepada disiplin-disiplin ilmu lain yang ada di sekitarnya.
Penafian pengarang, penolakan sejarah dan biografi, menidakkan peranan disiplin-disiplin lain sebagai bertalian atau mempunyai hukum kausaliti dalam kesusasteraan inilah yang dilihat oleh para sarjana sastera Melayu sebagai berat sebelah, terbatas, khusus kepada aspek-aspek tertentu sahaja, yang menyebabkan kajian tidak sempurna (Hashim Awang.1997:103). Landasan pembinaannya tidak menggambarkan keluasan dan kefungsian kesusasteraan di dalam dan di luar sempadannya. Jika demikian, bagaimanakah teori-teori ini mampu menelurkan makna-makna yang intrinsik dalam karya-karya penulis Melayu Islam?
Keperluan kepada teori kesusasteraan Melayu berkaitan rapat dengan kegiatan kritikan sastera Melayu itu sendiri. Dalam konteks ini, definisi kritikan sastera di Barat dan dalam alam Melayu harus berbeza dan perlu dibezakan. Kritikan adalah wahana sastera yang sangat dinamis sifatnya. Oleh itu, kritikan menyumbangkan peranan yang sangat besar dalam kemajuan dan perkembangan sastera. Kesusasteraan tidak mungkin dapat hidup dengan semata-mata bergantung kepada teorinya, kerana kritikanlah yang `memberi nyawa` kepadanya.
Telah sekian lama kesusasteraan kita hidup bergantung kepada teori sastera dan pendekatan kritikan Barat. Selama itu jugalah pandangan hidup masyarakat Melayu yang terselindung dalam karya-karya sastera Melayu belum benar-benar mampu dibongkar, kerana teori dan kritikannya tidak mencecah kedalaman jatidiri Melayu dan Islam yang menjadi anutan mereka. Teori-teori dan pendekatan moden Barat tidak menyediakan ruang dan jalan rintis yang seafdalnya ke arah itu. Dalam era pascamoden, keadaan menjadi lebih tidak menentu dan teori-teorinya pula tidak memberi apa-apa jaminan terhadap apa-apa kepastian yang temui. Oleh itu, definisi kritikan sastera dalam kesusasteraan barat dan kesusasteraan Melayu perlu kepada pengubahsuaian. Dari pemahaman sarjana Barat, kritikan kesusasteraan satu disiplin yang sistematik yang berusaha untuk menjelas, mengkaji, menganalisis, menginterpetasi, menilai dan sesuatu hasil seni (Charless E. Bressler.1999.4). M.A. Abrams (1971) pula menyebutkan kritikan kesusasteraan sebagai satu cabang pengkajian yang berhubung dengan pengertian, penjenisan, penghuraian dan penilaian karya-karya kesussteraan.
Kritikan sastera Melayu menurut Ungku Maimunah ialah segala tulisan tentang sastera yang memberi kesan kepada perkembangan kesusasteraan termasuk kepada pembacaan dan penerbitan karya sastera (Rahman Shaari.1994.11). Ungku Maimunah berpendirian, aspek perkembangan sastera turut dilibatkan sebagai satu pertimbangan yang wajar berdasarkan keadaan-keadaan tertentu yang berlaku dalam kesusasteraan Melayu itu sendiri (Rahman Shaari.1994.10). Ahmad Kamal Abdullah, et al (1990) pula menjelaskan:

`Kritikan harus mengandungi ciri-ciri seperti pengamatan yang kritis, penumpuan terhadap teks sama ada yang tersurat dan tersirat, pemerian apresiasi terhadap keindahan dan kekuatan karya, menilai, membanding, menunjukkan kesalahan dengan niat mempertingkatkan karya, memberi manfaat kepada pembaca dan seluruh peneliti lainnya. Pelakuan itu semestinya dibuat dengan pendekatan-pendekatan tertentu dalam lingkungan kesusasteraan itu sendiri.

Definisi di atas adalah hasil adunan definisi kritikan sastera dari barat yang disesuaikan dengan pandangan dan keperluan khalayak sastera Melayu. Daripada definisi-definisi tersebut, kritikan sastera Melayu kelihatan lebih bersifat komprehensif berbanding makna kritikan sastera dalam kesusasteraan barat yang lebih menjurus menitikberatkan penilaian tekstualiti. Penekanan yang diberikan kepada kritikan sastera Melayu ialah pembangunan sastera. Oleh itu, kritikan sastera Melayu tidak semata-mata menyelongkari teks, tetapi juga membawa sastera itu sendiri kepada kemajuan-kemajuan sastera dan menghubungkannya dengan aspek-aspek yang berada di luar teks.
Di sinilah pentingnya teori kesusasteraan Melayu, yakni untuk memenuhi keperluan dalam bidang kritikan sastera Melayu itu sendiri, yang disifatkan oleh Mana Sikana sebagai jatidiri dan seiring dengan konteks sosio budaya negara ini. Teori-teori kesusasteraan dan kritikan Barat tidak mungkin dapat menjangkau ketinggian falsafah kehidupan orang-orang Melayu dan Islam.

No comments:

Post a Comment